Friday, January 22, 2010

Pusat karaoke disita, pemilik didenda

KUALA TERENGGANU - Sebuah pusat karaoke di pusat Bandaraya Kuala Terengganu disita manakala pemiliknya dikenakan denda apabila didapati memiliki salinan langganan dalam bentuk sistem berkomputer digital lagu tempatan dan antarabangsa dalam satu serbuan sepasukan Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu dan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), dekat sini, semalam.

Pengarah PPDNKK negeri, Mohd Hilmi Mohd Noor berkata, serbuan itu adalah serbuan pertama pada tahun ini membabitkan pusat karaoke yang disiasat me-ngikut Seksyen 41(1)(d) di bawah Akta Hak Cipta 1987.

“Dalam serbuan ini kita turut merampas beberapa perisian cetak rompak yang dipercayai mengandungi pelbagai jenis salinan langganan lagu yang tidak dilesenkan kepada RIM.

“Serbuan ini dijalankan hasil maklumat orang ramai dan RIM yang mendakwa pusat karaoke ini menggunakan perisian cetak rompak serta mengaut keuntungan dengan menggunakan salinan itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan serbuan di pusat karaoke itu.

Dalam serbuan tersebut seramai 20 orang anggota terlibat dan diketuai Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Ab Ghani Harun.

Kata Mohd Hilmi, jika sabit kesalahan pemilik pusat karaoke itu boleh didenda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan lagu.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi RIM, Abdul Rahman Ghazali turut memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 10 pusat karaoke di negeri ini menggunakan perisian cetak rompak.

“Daripada pemantauan yang dilakukan, hampir 90 peratus lagu yang digunakan lagu tempatan, justeru itu, RIM mewakili 170 buah syarikat rakaman di negara ini turut bertanggunjawab untuk membanteras kegiatan yang menyalahi Akta Hak Cipta ini.

“Berikutan penggunaan peri-sian cetak rompak ini juga, industri muzik negara menerusi rakaman muzik dan muzik karaoke mengalami kerugian kira-kira RM60 juta setahun,” katanya.

Justeru, Abdul Rahman berharap orang ramai dapat bekerjasama dengan melaporkan kepada pihaknya secara terus sekiranya mendapati terdapat mana-mana pusat karaoke menggunakan perisian cetak rompak,” katanya.

0 comments: